Amani dan Along terkejut apabila mengetahui papa dan mama mereka terpilih untuk menunaikan ibadah haji di Mekah. Tetapi reaksi mereka berbeza. Along menerima dengan hati terbuka. Amani pula berasa sedih. Dia tidak mahu ditinggalkan. Hatinya begitu sayu membayangkan perpisahan selama 40 hari. Amani menangis teresak-esak di dalam bilik, bertanya-tanya siapa yang akan menjaganya nanti.
Bila papa dan mama mengadakan kenduri doa selamat, Amani mula memahami betapa pentingnya ibadah haji bagi umat Islam. Melalui cerita Imam Ahmad dan nasihat atuk tentang keistimewaan Kaabah dan tempat-tempat suci di Mekah, Amani mula tersentuh.
Dapatkah Amani mengubah perasaan sedihnya? Bagaimanakah Along memujuk Amani menghadapi perpisahan ini? Ikuti kisah Amani yang menarik dan penuh pengajaran tentang pengorbanan, kasih sayang keluarga dan pengertian sebenar ibadah dalam Islam!